Cadangan lanjut usia persaraan dibimbangi jejas generasi muda – Konsultan Kerjaya

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Cadangan untuk melanjutkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun perlu dipertimbang secara berhati-hati agar tidak menjejaskan masa depan generasi muda, menurut konsultan kerjaya, Nik Akmal Nik Othman.

Menerusi satu hantaran di platform X, beliau berpandangan langkah itu berisiko menyempitkan peluang pekerjaan untuk anak muda, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran belia.

“Kalau pelanjutan ini dibuat secara menyeluruh tanpa pelan jelas, anak muda yang baru nak bina kerjaya akan terus tercicir. Ini bukan masa yang sesuai,” tulisnya pada Rabu.

Jelasnya, ramai pekerja berusia tidak lagi menguasai kemahiran teknologi semasa, yang akhirnya boleh menjejaskan daya saing sektor pekerjaan negara.

Beliau turut memberi amaran bahawa tekanan kewangan dan peluang yang terhad kepada generasi muda akan mempercepatkan peralihan Malaysia menjadi negara tua, dengan pelbagai kesan sosial dan ekonomi.

Sebagai langkah penyelesaian, beliau mencadangkan agar pelanjutan perkhidmatan hanya ditawarkan untuk jawatan tertentu melalui kontrak bersyarat, termasuk menjalani ujian kesihatan, penilaian kecekapan dan latihan semula.

Tambah beliau, pelaksanaan dasar itu perlu dibuat secara berfasa dengan berpandukan data menyeluruh melibatkan nisbah pekerja mengikut umur, sektor dan tahap kemahiran.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan semula had usia persaraan wajib di Malaysia daripada 60 kepada 65 tahun.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan realiti semasa serta peningkatan jangka hayat rakyat, di mana ramai dalam kalangan warga berusia 60 tahun ke atas masih sihat, aktif, dan berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat