Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyifatkan cadangan untuk menaikkan had umur pencen kepada 65 tahun sebagai sesuatu yang wajar dan sejajar dengan amalan global.
Beliau berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja relevan dengan perkembangan semasa, tetapi juga penting untuk menyesuaikan dasar negara dengan cabaran demografi yang semakin ketara.
“Saya rasa cadangan menaikkan had umur pencen kepada 65 tahun adalah wajar, kerana banyak negara sudah mengaplikasikan umur 65 tahun sebagai umur ideal untuk bersara,” katanya kepada Malaysia Bangkit hari ini.
Beliau mengulas cadangan yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung kerajaan perlu mempertimbangkan menaikkan had umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.
Katanya, walaupun umur persaraan 65 tahun telah lama digunakan di beberapa negara, namun trend global kini menunjukkan kecenderungan untuk melaksanakan kenaikan umur persaraan dilakukan secara berperingkat dan bukannya dikuatkuasakan dengan secara terus serta sepenuhnya.
“Walaupun umur persaraan 65 tahun masih lazim digunakan, banyak negara kini melaksanakan peningkatan secara berperingkat bagi menangani cabaran yang timbul akibat penuaan penduduk dan untuk memastikan kelestarian sistem pencen,” katanya lagi.
Lee turut mencadangkan supaya Malaysia mengambil pendekatan yang sama dengan pelaksanaan had umur pencen seawal 65 tahun itu dibuat secara bertahap dalam tempoh 15 tahun, bermula 2026 sehingga 2040.
“Saya cadang boleh guna pakai secara berperingkat, boleh dilaksanakan secara berperingkat selama 15 tahun, dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2040.
“Umur persaraan meningkat daripada 60 ke 65 tahun, naik 1 bulan setiap 4 bulan,” ujarnya.
Beliau juga menekankan keperluan pembaharuan sokongan dalam sektor pekerjaan dan pembangunan sumber manusia selaras dengan cadangan itu.
“Perlu dilakukan penyesuaian tempat kerja, pelaburan dalam kesihatan dan latihan semula, serta dasar yang seimbang untuk generasi muda dan tua,” tambahnya.
Dengan itu katanya, cadangan terbabit dilihat sebagai satu langkah strategik yang bukan sahaja akan menjamin kelangsungan sistem pencen negara, malah turut menggalakkan keterlibatan golongan berpengalaman dalam pasaran kerja untuk tempoh lebih lama.
Sebelum ini, Azalina yang menyuarakan pandangan peribadinya berkata adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.
Untuk rekod, Malaysia mengamalkan sistem persaraan wajib bagi penjawat awam yang ditetapkan pada usia 60 tahun.
Had umur itu juga merupakan usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
Baca juga: