PETALING JAYA: Cadangan memperkenalkan mekanisme tahanan rumah perlu melalui proses perbahasan berperingkat di Parlimen bagi memastikan keadilan dan kepentingan awam terpelihara, kata Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau berkata, isu berkenaan bukan perkara kecil dan harus dihuraikan dengan penuh empati, kebijaksanaan serta kematangan bersama.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan tahanan rumah perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat dan prinsip undang-undang.
Shamsul turut merujuk kepada keperluan memahami perasaan, harapan dan kegusaran yang dirasai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung Titah Adendum.
“Sebarang bentuk pelaksanaan hukuman atau kaedah penahanan tidak boleh dipisahkan daripada peruntukan undang-undang serta proses kehakiman yang ditetapkan oleh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga mengimbau cadangan PKR pada tahun 2016 agar Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu menjalani hukuman penjara, diberikan tahanan rumah atas faktor kesihatan dan kemanusiaan.
Namun, cadangan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan ketika itu menyatakan negara belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus bagi tahanan rumah.
Dalam masa sama, Shamsul menasihati parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar bersikap matang dan tidak memberi reaksi terburu-buru terhadap keputusan mahkamah.
Keputusan Mahkamah Tinggi yang dibacakan oleh Hakim Alice Loke Yee Ching sebelum ini mendapati Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
Shamsul berkata, sebarang langkah ke arah pelaksanaan tahanan rumah perlu melalui proses perundangan yang jelas, agar tidak menimbulkan kekeliruan dan dapat menjamin keadilan kepada semua pihak.








