KUALA LUMPUR: Ibu kota tampil lebih berseri dan berwarna-warni pada waktu malam apabila ribuan tanglung merah keemasan menghiasi laluan utama bandar raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut tidak lama lagi.
Memasuki Tahun Kuda Api, limpahan cahaya tanglung ini bukan sahaja mencantikkan landskap bandar, malah melambangkan semangat tenaga, kemajuan serta keyakinan untuk terus bergerak ke hadapan seiring aspirasi Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang dinamik dan inklusif.
Inisiatif pemasangan hiasan perayaan tersebut dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai usaha menceriakan persekitaran bandar di samping menyemarakkan elemen kebudayaan, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurut DBKL, inisiatif itu turut mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memastikan setiap perayaan utama di ibu negara diraikan secara inklusif.
“Pemasangan tanglung ini bukan sekadar hiasan, tetapi simbol keharmonian dan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Kuala Lumpur,” menurut kenyataan DBKL di Facebook pada Sabtu.
Secara keseluruhan, sebanyak 14,914 unit tanglung telah dipasang di jalan-jalan utama, kawasan komersial serta lokasi tumpuan orang ramai, sekali gus menjadikan suasana malam Kuala Lumpur lebih meriah dan hidup sepanjang musim perayaan ini.
DBKL turut menggalakkan warga kota dan pengunjung untuk menikmati keindahan hiasan tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Kerjasama orang ramai amat penting bagi memastikan kebersihan serta keselamatan kemudahan awam sentiasa terpelihara demi kesejahteraan bersama,” katanya lagi.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Kuala Lumpur sebagai bandar raya berdaya huni dan mesra semua lapisan masyarakat, sekali gus mengukuhkan imej ibu negara sebagai destinasi yang meraikan kepelbagaian budaya serta semangat perpaduan nasional.
Baca juga:







