PETALING JAYA: 56 calon-calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa menyerang Ketua AMK, Kamil Munim dengan tohmahan negatif dalam kempen pemilihan Timbalan Presiden PKR.
Dalam satu kenyataan bersama yang diketuai calon Timbalan Ketua AMK, Izuan Kasim berkata, pemilihan peringkat AMK berlangsung dalam semangat keterbukaan dan keadilan tanpa menyerang mana-mana pihak.
Namun, mereka kecewa apabila kepimpinan AMK dikaitkan secara negatif dalam kempen peringkat Pusat.
“AMK amat memandang tinggi dan menghormati mana-mana pimpinan senior yang telah menyatakan hasrat bertanding bagi mana-mana jawatan di peringkat Pusat.
“Meski di peringkat calon AMK sendiri dapat dilihat kecenderungan sokongan calon-calon tersebut di peringkat pusat, namun ini tidak dijadikan alat untuk berkempen dan menjatuhkan mana-mana calon AMK,” kata kenyataan bersama itu.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan Rafizi yang didakwa meremehkan usaha kepimpinan muda parti mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan anggota AMK yang sedang berusaha membina pasukan baru secara telus dan terbuka.
“Datuk Seri Rafizi Ramli sewajarnya terus menyatakan hasrat, visi dan misi beliau dalam mencalonkan diri sebagai Timbalan Presiden PKR tanpa menjatuhkan mana-mana pihak apatah lagi pasukan AMK yang kini sedang membina naik bersama,”ujar kenyataan tersebut.
Antara nama calon Naib Ketua AMK di dalam kenyataan bersama itu ialah Taufiq Johari, CM Chiew, Pravin Murali, Nabil Halimi, Fevin Kah Yong, Wan Hasifi dan 49 calon Majlis Pimpinan AMK Pusat yang lain.
Calon-calon itu menegaskan bahawa mereka akan terus berpegang kepada prinsip keterbukaan dan konsep ‘KITA SEMUA KEADILAN’ hingga tamat proses pemilihan dengan komitmen yang akan diperkukuhkan melalui program Rapat Angkatan Muda Keadilan 2025.