Calon PH N62 Silam Tarik Diri, Keputusan Bersifat Peribadi

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengesahkan penarikan diri Abdul Halim Sidek Gulam Hassan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.62 Silam dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk menjaga keharmonian antara parti komponen PH serta rakan kerjasama politik di Sabah.

“Kami menghormati keputusan tersebut yang dibuat secara bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penarikan diri Abdul Halim adalah keputusan peribadi tanpa tekanan mana-mana pihak.

“Semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Menurut Mustapha, PKR Sabah komited memastikan kestabilan politik terus terpelihara khususnya di kawasan Silam dan Lahad Datu.

Beliau menambah, kerjasama gabungan PH berada dalam keadaan baik dan tidak terjejas dengan keputusan tersebut.

Walaupun tidak bertanding, Abdul Halim tetap menyatakan kesediaan untuk berkhidmat kepada rakyat Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti.

PKR Sabah menghargai komitmen serta semangat perjuangan yang ditunjukkan beliau.

Mustapha turut menyeru jentera dan penyokong PH di Silam serta Lahad Datu supaya kekal tenang dan fokus menghadapi pilihan raya.

“Kami mahu memastikan masa depan rakyat Sabah terus terpelihara melalui perjuangan bersama,” katanya.

Abdul Halim sebelum ini dikenali sebagai tokoh tempatan aktif di Lahad Datu dan terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan.

Anda Mungkin Berminat