PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning terus hangat dengan kontroversi apabila calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek, didakwa menipu dalam permohonan mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri Perak.
Dakwaan itu mencetuskan persoalan besar mengenai integriti dan kelayakan calon tersebut sebagai pemimpin yang ingin mewakili rakyat.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Datuk Asmuni Awi, dalam kenyataan media hari ini, berkata, tindakan calon PN tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi agama tetapi juga merupakan penghinaan terhadap institusi diraja serta derhaka kepada titah Sultan Perak.
“AMANAH Perak menegaskan bahawa perbuatan ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, pelanggaran undang-undang syarie, serta mencemar kedaulatan Raja Berperlembagaan.
“Ia memperlihatkan sifat tidak jujur dan oportunis yang tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin rakyat,” katanya.
Menurut Asmuni, di Perak, tauliah mengajar agama Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak melalui Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.
Katanya lagi, proses permohonan tauliah melibatkan ujian bertulis, temu duga dan tapisan latar belakang dengan kelulusan akhir hanya diberikan dengan perkenan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
“Peraturan semasa juga dengan jelas menyatakan bahawa individu yang memegang jawatan dalam parti politik atau bertanding dalam pilihan raya tidak layak diberikan tauliah mengajar,” ujarnya.
AMANAH Perak menyeru pihak berkuasa agama untuk menyiasat dakwaan ini secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PN, BN dan PSM.