GEORGETOWN: Lebih 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, Seberang Perai Tengah kini hidup dalam kebimbangan apabila pencemaran di Sungai Juru didakwa semakin serius sejak kebelakangan ini.
Dalam tinjauan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), air sungai didapati sentiasa keruh dan dipercayai tercemar akibat pembuangan sisa kilang serta sisa kolam ternakan udang di kawasan berhampiran.
Ketua Nelayan Kuala Juru, Wahid Othman, 50, berkata, masalah itu semakin membimbangkan sejak setahun lalu apabila pintu saliran sisa buangan di Sungai Derhaka yang menghubungkan Sungai Juru dibuka semula selepas sekian lama ditutup.
“Pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Juru kerap berlaku pada waktu pagi menyebabkan air menjadi kehitaman dan berbau.
“Banyak kerang mati dan bangkai ikan turut ditemui terapung,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menjejaskan pendapatan nelayan dan penternak kerang.
“Saya bimbang jika keadaan ini berterusan, mata pencarian kami akan merosot dan menjejaskan kehidupan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi berkenaan dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
“CAP menggesa tindakan segera diambil bagi menutup saliran tercemar dan menyelamatkan Sungai Juru daripada terus rosak,” katanya.
Beliau berkata, pencemaran itu bukan sahaja menjejaskan alam sekitar dan pendapatan nelayan, malah turut memberi kesan kepada bekalan makanan rakyat.
“Kerajaan juga perlu membantu penternak kerang dan nelayan yang terjejas supaya mereka dapat meneruskan aktiviti yang sudah lama diceburi,” katanya.








