Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan aktivis, Caprice, menggesa bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, supaya segera menurunkan semua hantaran media sosial yang didakwa mengandungi unsur fitnah terhadapnya.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 38 berkata, beliau memberi tempoh sehingga pukul 5 petang esok untuk Ahli Parlimen Pandan itu berbuat demikian, sebelum tindakan undang-undang diambil.
Menurut peguam yang mewakilinya, Mohd Rezan Ezra Muhd Mosinal, pihaknya bakal menghantar surat tuntutan yang antara lain menggesa Rafizi menarik balik kenyataan terbabit.
“Kedua, Rafizi perlu memadamkan segala hantaran tersebut dan menghentikan apa-apa kenyataan yang berunsur fitnah.
“Ketiga, kami menuntut satu permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang telah dilontarkan,” katanya.
Ujarnya lagi, jika Rafizi gagal memadamkan semua hantaran berkaitan serta menghentikan sebarang bentuk pernyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap anak guamnya pada waktu yang ditetapkan, maka surat tuntutan akan dihantar.
Pada masa sama, Caprice menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini hanyalah meminta penjelasan berhubung isu konflik kepentingan yang dibangkitkan, dan bukannya tuduhan rasuah.
“Sebenarnya kami hanya meminta supaya ia dihentikan dan dijawab.
“Tidak ada sebarang kenyataan mengenai rasuah atau dakwaan melibatkan RM2.5 bilion seperti yang didakwa. Apa yang dibangkitkan hanyalah persoalan konflik kepentingan antara individu terlibat dan kami mahu penjelasan,” katanya.
Caprice menegaskan, sekiranya tiada tindakan diambil sebelum tempoh yang ditetapkan, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan dengan surat tuntutan rasmi dan mengambil tindakan lanjut mengikut prosedur undang-undang.
“Segalanya bergantung kepada beliau. Jika tiada maklum balas atau tindakan sewajarnya, kami akan teruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Rafizi memberi amaran akan memfailkan saman terhadap Caprice sekiranya tiada permohonan maaf dibuat selepas fakta sebenar dibentangkan.
Untuk rekod, isu tersebut berkait dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua dasar nasional iaitu program Silicon Vision dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) semasa Rafizi menjawat Menteri Ekonomi.
Baca juga:








