Caprice saman Rafizi RM10 juta, tuntut maaf dan injunksi

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Caprice, memfailkan saman fitnah terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM10 juta.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli mengesahkan tindakan itu diambil susulan kegagalan Rafizi memohon maaf serta memadam hantaran media sosial yang didakwa mengandungi tuduhan berunsur fitnah terhadapnya.

Menurut beliau, tindakan tersebut berkait dakwaan Rafizi bahawa beliau telah memfitnah bekas Timbalan Presiden PKR itu, sebagaimana dinyatakan dalam dua surat tuntutan peguam bertarikh 20 dan 23 Februari lalu.

Sehubungan itu, Caprice memaklumkan beliau telah mengarahkan peguamnya, Mohd Rezan Ezra, untuk memfailkan saman fitnah berkenaan semalam, dan difahamkan proses penyerahan saman akan dilakukan hari ini.

“Dalam saman ini, saya menuntut antaranya ganti rugi RM10 juta, permohonan maaf secara terbuka serta injunksi terhadap beliau.

“Menerusi tindakan undang-undang ini, saya berharap nama baik saya dapat dibersihkan daripada fitnah yang didakwa dilemparkan terhadap saya. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 21 Februari lalu, Caprice dilaporkan memberi tempoh kepada Rafizi sehingga jam 5 petang hari sama untuk memadam semua hantaran berkaitan dan memohon maaf, atau berdepan tindakan undang-undang.

Ia susulan kenyataan Rafizi di media sosial berhubung tuduhan Caprice mengenai dakwaan rasuah RM2.5 bilion melibatkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan bekas menteri itu.

Dalam pada itu, Caprice turut menyentuh penjelasan Rafizi menerusi podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ (YBM) yang disiarkan pada 20 Februari lalu berhubung dakwaan kononnya wujud ‘konflik kepentingan’ ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi.

Caprice mendakwa dalam podcast berkenaan, Rafizi tidak menafikan hubungan perniagaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Itramas Corporation, Lee Choo Boo, yang pernah memegang saham dalam Invoke.

Beliau juga mendakwa Rafizi tidak menafikan pembabitannya dalam projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dianugerahkan kepada Itramas Corporation ketika menjadi Menteri Ekonomi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat