Cara lapuk, punca Malaysia masih ketandusan pingat emas Olimpik

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Penggunaan strategi yang sama tetapi mahukan keputusan yang berbeza itu kata Penganalisis Sukan, Ahmed Faisal Mohamed Fiah ketika mengulas mengenai ketandusan Malaysia untuk mendapatkan pingat emas Olimpik pertama negara.

Menurut Faisal yang juga merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Malaysia kebuntuan pingat emas akibat sering bergantung kepada sukan yang sama dan tidak mempunyai usaha dalam mengembangkan fokus kepada prospek pingat yang lain.

“Malaysia masih gagal mendapatkan emas pertama kerana kita masih bergantung kepada sukan yang sama sejak dahulu seperti basikal, terjun dan badminton.

“Negara lain dah ke depan dan lebih bersedia untuk sukan-sukan terbabit dari dahulu dan sudah pun mengalihkan fokus mereka dengan mengembangkan kepada sukan lain.

Ahmed Faisal Mohamed Fiah

“Namun berbeza buat Malaysia yang masih menggunakan cara yang sama sejak dahulu tetapi mahukan keputusan yang berbeza itu sahaja sudah membuktikan perbezaan kita jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Menurutnya, persatuan sukan seharusnya mempunyai matlamat dan program jangka panjang bagi melahirkan atlet-atlet baru dalam meningkatkan prestasi atlet negara pada masa depan.

“Mulai sekarang, kenal pasti sukan yang boleh membawa pulang pingat dan atlet-atlet yang berpotensi daripada pelbagai platform seperti SUKMA yang sedang berlangsung mahu pun persatuan-persatuan sukan negeri dengan melakukan program yang komprehensif bukan setahun sebelum Olimpik Los Angeles 2028,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Faisal turut berkata, program komprehensif tersebut harus dilaksanakan dengan secepat mungkin bagi membantu negara dalam mencari pelapis untuk masa depan selain meneruskan misi membawa pulang pingat emas pertama negara di pentas Olimpik itu.

Olimpik Paris 2024 menyaksikan Malaysia membawa pulang dua pingat gangsa dari acara badminton menerusi pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia sekali gus menamatkan cabaran di tempat ke-80.

Anda Mungkin Berminat