KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bukan warganegara tidak akan menjejaskan keutamaan kerajaan terhadap rakyat tempatan.
“Kerajaan sudah merangka beberapa inisiatif khusus untuk rakyat tempatan, selain daripada caruman wajib ini,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri berkata, antara langkah yang diperkenalkan ialah caruman sukarela bagi pekerja sendiri, yang telah menarik penyertaan 1.2 juta ahli sejak dilancarkan pada 2024.
“Kita juga ada i-Saraan dan i-Suri untuk membantu sektor informal, terutama suri rumah. Insentif kerajaan dalam program ini sudah mencecah RM4.16 juta,” jelasnya.

Beliau menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-MIRI) yang membangkitkan kebimbangan sama ada caruman KWSP untuk bukan warganegara akan menjejaskan fokus terhadap simpanan rakyat tempatan.
Anwar menegaskan bahawa caruman minimum dua peratus untuk pekerja asing juga memberi manfaat kepada kerajaan dalam menguruskan tenaga kerja asing di negara ini.
“Langkah ini bukan sahaja memastikan keadilan dalam sistem, tetapi juga membantu kita mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing dan memastikan mereka pulang selepas tamat tempoh bekerja,” katanya lagi.
Menurutnya, pekerja asing yang ingin mengeluarkan caruman KWSP perlu menunjukkan bukti bahawa mereka telah meninggalkan Malaysia.
“Soal caruman ini adalah untuk mempertahankan hak pekerja tempatan. Tidak munasabah jika kita terus bergantung sepenuhnya kepada buruh asing,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kadar dividen KWSP sebanyak 6.3 peratus dicapai hasil pengurusan cekap, ketelusan serta keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi MADANI yang diperkenalkan kerajaan.
Baca juga: