PETALING JAYA: Kerajaan menetapkan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dua peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata biarpun terdapat kekeliruan berhubung kadar caruman tersebut namun keputusan kabinet adalah untuk mengekalkan kadar minimum sebanyak dua peratus berbanding cadangan awal 12 peratus.

“Caruman KWSP pekerja asing mesti dilaksanakan, saya tahu ada kekeliruaan sebelum ini berkaitan dengan akan ada kumulatif dalam caruman.
“Namun kabinet telah mempertimbangkan rayuan daripada dewan perniagaan dan kita kekalkan kadar dua peratus buat masa ini.
“Apabila keadaan bertambah baik, kita boleh mempertimbangkan peningkatan sehingga 4 peratus, tetapi buat masa ini, kita kekalkan pada kadar yang lebih rendah,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) .
Beliau menegaskan bahawa keputusan ini diambil bagi memastikan kelangsungan industri serta mengurangkan kebimbangan pihak berkepentingan terhadap implikasi caruman secara kumulatif.