Cedera di kepala, Akhyar jadi mangsa samun

Pemain skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid didakwa menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu.

Akhyar atau Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 25, turut mengalami kecederaan di kepala susulan kejadian tersebut.

Berdasarkan video yang tersebar dalam media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp, pemain kelahiran Kedah itu dikatakan sedang berada di sebuah pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan.

Akhyar dipercayai disamun ketika berada di Kampung Tanjung, di tengah bandar Kuala Terengganu.

Menurut sumber, kecederaan di bahagian kepala yang dialaminya akibat hentakan senjata keras iaitu cota.

Akhyar yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 semalam menyertai TFC pada Februari lalu secara pinjaman dari juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dia yang beraksi di bahagian serangan menjadi sandaran skuad Penyu untuk bergandingan bersama seorang lagi pemain yang dipinjam daripada Harimau Selatan, Safawi Rasid.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat