KOTA BHARU: Polis mengesyaki motif cemburu menjadi punca pembunuhan seorang pelajar kolej wanita berusia 19 tahun yang ditemui maut di Ketereh, tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh oleh kenalan lelakinya yang juga berusia 19 tahun selepas berlaku pertengkaran.
Menurutnya, mangsa dipercayai diserang ketika berada di dalam kenderaan milik suspek.
“Polis percaya unsur cemburu menjadi motif utama. Berlaku salah faham antara mangsa dan suspek sebelum kejadian yang membawa kepada kematian mangsa.
“Dengan penahanan suspek utama, kita percaya kes ini telah berjaya diselesaikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan seorang lagi remaja lelaki yang ditahan merupakan rakan mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, dua remaja lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, manakala dua lagi suspek iaitu seorang wanita berusia 60 tahun dan lelaki berusia 66 tahun direman selama tiga hari.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di Kampung Simah, Ketereh tanpa dokumen pengenalan diri. Identiti mangsa bagaimanapun berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan berkenaan.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.
Baca juga:








