KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan akan membantu seorang pelajar cemerlang yang terpaksa berhenti belajar dan bekerja di kilang selepas keluarganya berdepan kesempitan hidup.
Menurut Asyraf, pelajar lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) itu memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Mata Gred Kumulatif (CGPA) 3.87 di peringkat Asasi.
Bagaimanapun, selepas bapanya jatuh sakit dan ibunya hanya bekerja membantu membungkus nasi lemak, pelajar berkenaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian ke kampus induk kerana universiti memaklumkan tiada bantuan kewangan dapat disalurkan.
“Pagi-pagi dah terima mesej, ada pelajar cemerlang SPM 9A, Asasi 3.87 tapi berhenti belajar untuk kerja kilang sebab faktor kemiskinan.
“MARA akan tawar pembiayaan belajar kejuruteraan elektrik dan laluan kerjaya yang baik di BMI, UniKL,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Asyraf berkata, beliau sendiri akan menemui pelajar berkenaan untuk memujuknya kembali menyambung pengajian.
“Saya sudah berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA lepas Subuh tadi dan bersetuju untuk menawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysia Institute (BMI) bawah UniKL yang seiring dengan pencapaiannya di peringkat Asasi.
“Sesungguhnya hanya dengan ilmu sahaja boleh merubah kehidupan,” katanya.
Beliau menambah, UMNO Bahagian juga diminta untuk segera membantu keluarga pelajar terbabit bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.
Baca juga:








