Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya telah menahan seorang pereka kandungan yang dikenali sebagai ‘CEO Batu’ pada Khamis.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir menerusi satu kenyataan media hari ini dan berkata penahanan itu dibuat susulan pihaknya menerima laporan daripada seorang ibu mangsa yang mendakwa anak perempuannya yang berumur 14 tahun telah menerima mesej dan gambar berunsurkan seksual menerusi aplikasi media sosial daripada suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menghantar beberapa imej yang tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei 2025.
“Suspek kini ditahan reman selama 4 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15 (e) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017,” katanya.
Noor Ariffin menegaskan, PDRM memandang serius kesalahan eksploitasi seksual yang melibatkan kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta melaporkan sebarang perlakuan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa dengan segera,” ujarnya.
Tambah beliau, sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah inspektor Aldrin Anak Pegie, no tel 012-2549543 atau ibu Pejabat Polis Daerah
Gombak 03-61262222.
Terdahulu, media melaporkan penyanyi Rap terkenal Malaysia Caprice mendedahkan perbualan antara seorang remaja perempuan yang dikenali sebagai Isha dengan individu yang didakwa sebagai CEO Batu.
Difahamkan, perbualan antara mereka bermula apabila Isha menghubungi pempengaruh terbabit melalui mesej di TikTok pada 1 November 2024.
Dalam mesej tersebut, remaja berusia 14 tahun itu menyatakan hasratnya untuk menghasilkan kandungan TikTok bersama CEO Batu.
Baca juga: