Ceramah Ustaz Wadi Annuar diteruskan dengan tarikh baharu – Dr Na’im

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memberi jaminan bahawa ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan akan tetap diteruskan dengan tarikh baharu yang bakal diputuskan kemudian.

Menurutnya, beliau sendiri sudah menghubungi Ustaz Wadi Annuar bagi mendapatkan pengesahan berhubung isu pembatalan program berkenaan, selain berbincang dengan Pengerusi masjid yang juga pewakaf, Tan Sri Rashid Hussain.

“Ustaz Wadi Annuar dengan berlapang dada menerima undangan dan akan memilih tarikh baru yang bersesuaian. Terima kasih kepada Ustaz Wadi Annuar, Tan Sri Rashid dan AJK Masjid atas kerjasama dalam memakmurkan masjid,” katanya.

Mohd Na’im menegaskan, mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab bersama dan institusi itu harus terus menjadi pusat peradaban Islam serta tempat memperkukuh ukhuwah umat.

Sebelum ini media melaporkan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan dibatalkan. Ceramah berkenaan sepatutnya berlangsung semalam 6 September 2025.

Tempoh hari Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri langsung tidak tahu menahu mengenai program itu dan terkejut apabila timbul dakwaan kononnya beliau tidak membenarkan ceramah berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat