‘Cermin Diri Dulu’, Peguam PKR Beritahu Latheefa Koya

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, diminta untuk menilai semula pendiriannya sebelum memberi pandangan berkaitan kuasa Perdana Menteri dan institusi kehakiman.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu, Asheeq Ali Sethi Ravi menyifatkan gesaan Latheefa untuk meminda Perlembagaan agar Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kuasa melantik hakim sebagai satu kenyataan bercanggah dan tidak berasas.

Menurutnya, ia mengingatkan bahawa pelantikan Latheefa sendiri sebagai Ketua SPRM dahulu turut dilakukan menerusi kuasa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ironinya, gesaan ini datang daripada seorang ‘bekas’ ahli politik yang secara tiba-tiba dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin Latheefa Koya lupa bahawa kuasa dan prerogatif seseorang Perdana Menteri yang beliau gesa untuk lucutkan sekarang, adalah kuasa yang sama yang telah digunakan untuk melantik beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam satu kenyataan media.

Asheeq turut mempertikaikan mengapa Latheefa tidak menyuarakan pendirian sama ketika menerima pelantikan tersebut.

“Persoalannya, sewaktu dilantik sebagai Ketua SPRM oleh Tun Dr Mahathir, mengapa Latheefa tidak menggesa Mahathir untuk lucutkan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri daripada sebarang pengaruh dalam pelantikan hakim mahupun SPRM? Adakah kerana ketika itu kuasa tersebut menguntungkan sesetengah pihak?” soalnya.

Beliau yang juga seorang peguam menggesa Latheefa agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan berdasarkan dokumen bocor yang tidak sahih sepenuhnya berkaitan mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Terkait kebocoran sebuah dokumen mirip minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Latheefa Koya juga melabelkan perkara yang terkandung dalam dokumen itu sebagai skandal kehakiman terbesar dalam sejarah.

“Sebagai seorang peguam, Latheefa sepatutnya lebih arif mengenai aspek ketulenan sesuatu keterangan, namun begitu, Latheefa dengan pantas dan dangkal melabelkan isu tersebut sebagai skandal terbesar dalam sejarah,” ujarnya.

Tambahnya, Latheefa sepatutnya mengambil iktibar daripada krisis kehakiman 1988 dan skandal rakaman video pelantikan hakim pada 2007, di mana kedua-duanya melibatkan Tun Dr Mahathir sebelum membuat kenyataan yang bersifat populis.

“Skandal-skandal tersebut merupakan skandal kehakiman yang sebenar, namun Latheefa seakan-akan sudah lupa.

“Atau mungkin beliau buat-buat lupa kerana ia melibatkan Tun Dr Mahathir? Wallahualam,” katanya.

Asheeq berkata, Latheefa perlu berhenti mempersoalkan sistem yang pernah memberi beliau kedudukan dan sebaliknya menghormati proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang melibatkan rundingan bersama Majlis Raja-Raja Melayu.

“Sebaiknya Latheefa harus berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat populis semata-mata lebih-lebih lagi apabila Latheefa sendiri telah menikmati hasil pada suatu ketika dahulu daripada sistem kuasa yang sama yang kini beliau persoalkan,” katanya lagi.

Latheefa sebelum ini menggesa kerajaan meminda Perlembagaan bagi menghapuskan sepenuhnya kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan hakim, susulan kebocoran dokumen mesyuarat JAC yang didakwa menjejaskan integriti institusi kehakiman.

Anda Mungkin Berminat