Cetusan UMT Dan Hot FM, Siaran Radio Bawah Air Pertama di Asia

PETALING JAYA: Dunia penyiaran bakal menyaksikan detik bersejarah apabila Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berganding bahu dengan stesen radio popular Hot FM untuk melancarkan siaran langsung radio dari dasar laut yang pertama seumpamanya di Asia.

Sebagai persiapan, kru Hot FM bersama pasukan teknikal UMT telah menjalani sesi latihan menyelam dan persediaan peralatan dari 5 hingga 8 Mei di kolam latihan Bukit Kiara Equestrian and Resort.

Momen menarik turut tercipta apabila personaliti radio Hot FM turut menyarung gear selam buat pertama kalinya.

Program istimewa bertajuk Bekpes Hot Tawan Laut akan menampilkan siaran langsung dari dasar laut Terengganu bersama barisan penyampai terkenal seperti Khairy Jamaluddin (KJ), Fara Fauzana, Johan dan AG yang akan mencipta pengalaman luar biasa bagi pendengar dan penonton digital.

Menurut jurucakap UMT, kolaborasi itu bukan sekadar pencapaian teknikal tetapi juga platform pendidikan luar bilik kuliah untuk pelajar serta satu pendekatan baharu bagi mendekatkan masyarakat dengan isu kelestarian laut.

Dengan impak yang melangkaui sempadan negara, projek ini berpotensi mencipta rekod Asia dan memperkukuh imej Malaysia sebagai peneraju inovasi media dan pendidikan marin.

Anda Mungkin Berminat