KUALA LUMPUR: Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, ditahan polis malam tadi susulan dakwaan menghasut dan memfitnah dalam ceramah politiknya di Bagan Serai, Perak, pada 1 September lalu.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, penahanan dilakukan sekumpulan anggota polis dari Unit D7 kira-kira jam 10 malam.
“Penahanan adalah untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Permohonan reman dijangka dibuat pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Chegubard turut pernah ditahan polis pada 28 Julai lalu di kediamannya, berhubung himpunan pembangkang di Dataran Merdeka sehari sebelumnya.
Ketika itu, satu kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), manakala tiga lagi dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) berkaitan penggunaan dron.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baca juga:








