PETALING JAYA: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard, sekali lagi ditahan polis hari ini di kediamannya sekitar pukul 2.30 petang.
Penahanan itu disahkan oleh peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali yang menyatakan bahawa siasatan dijalankan berhubung Himpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung pada 26 Julai di ibu negara.
“Semalam (Ahad) kami telah menerima pengesahan bahawa laporan polis terhadap CheguBard adalah berkaitan Himpunan Turun Anwar yang diadakan pada 26.7.2025 di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Rafique, CheguBard disiasat di bawah empat peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Beliau menjelaskan bahawa temu janji antara CheguBard dan pegawai penyiasat telah pun ditetapkan.
“Temu janji antara pegawai penyiasat dan CheguBard berkenaan perkara ini telah pun ditetapkan pada hari Selasa 29.7.2025 jam 11 pagi.
“Oleh itu, tangkapan dalam kes ini tidak diperlukan kerana CheguBard sentiasa telah memberi aku janji untuk menghadirkan diri di Bukit Aman,” katanya.
Rafique turut melahirkan rasa kesal atas tindakan penahanan yang dibuat walaupun tiada insiden tidak diingini berlaku semasa atau selepas himpunan tersebut.
“Tindakan atau arahan pihak berkuasa yang diberikan oleh pihak atasan adalah amat dikesali lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang insiden tidak diingini semasa dan/atau susulan daripada Himpunan Turun Anwar,” ujarnya.
Pihak peguam memaklumkan bahawa komunikasi akan diteruskan dengan pihak polis dan perkembangan terkini kes ini akan dikongsi dari masa ke semasa.