PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, mencipta sejarah apabila menghadiahkan Malaysia pingat emas Kejohanan Dunia di Paris hanya empat bulan selepas hampir berpisah.
Kemenangan itu bukan sekadar pencapaian sukan tetapi lambang ketabahan, kepercayaan dan semangat juang yang tidak pernah padam.
Pada April lalu, Tang Jie dan Ee Wei hampir membuat keputusan untuk mengakhiri kerjasama mereka.
Namun, Jawatankuasa ‘Road To Gold’ (RTG) menolak cadangan itu, dengan keyakinan bahawa gandingan itu masih punya potensi besar.
Keputusan itu kini terbukti tepat apabila mereka muncul juara dunia, menewaskan pasangan pilihan dalam perlawanan akhir yang penuh intensiti.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu hantaran di Facebook menyifatkan kejayaan itu sebagai simbol ketabahan dan pengorbanan demi negara.
“Kadang-kadang kejayaan tidak datang cepat. Ia memerlukan kesabaran, jatuh bangun dan pengorbanan.
“Apa yang penting ialah terus bangkit dan lakukan yang betul sehingga air mata bertukar menjadi senyuman,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif RTG akan terus menyokong atlet muda agar membawa semangat kecemerlangan dalam setiap usaha mereka.
“Dalam kes Tang Jie dan Ee Wei, kejayaan mereka menjadi juara dunia hadir hanya empat bulan selepas detik hampir berpisah.
“Ia satu pengajaran bahawa kejayaan boleh jadi lebih dekat daripada yang kita sangka,” tambah Hannah.
Kemenangan ini menjadikan mereka pasangan beregu campuran pertama dari Malaysia yang meraih emas di Kejohanan Dunia.
Ia bukan sahaja mengangkat nama negara di pentas antarabangsa tetapi juga menyuntik semangat baharu kepada generasi atlet muda.