China Rakan Stabil, Berprinsip, Malaysia Komited Jadi Sahabat Setia – PM

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan China sebagai rakan yang rasional, stabil dan berprinsip ketika dunia kian mencabar.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menghargai kestabilan itu dan akan terus menjadi sahabat setia, berpaksikan sejarah dan berwawasan masa depan.

“Di saat dunia menyaksikan perubahan landskap geopolitik dan beberapa pihak meninggalkan prinsip tanggungjawab kolektif, inisiatif global yang diketengahkan oleh China membuka ruang baharu untuk pembaharuan dan kerjasama.

“Saya ulangi rasa hormat dan penghargaan atas kepimpinan Presiden Xi Jinping yang lantang membicarakan soal prinsip perkongsian kemakmuran dan mengangkat nilai ketamadunan dan kemanusiaan sejagat.

“Prinsip dan pendirian Presiden Xi nyata berbeza dengan sikap segelintir negara yang mula meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab, menghalakan keutamaan untuk mengasah perseteruan dan mempersenjatakan ekonomi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Anwar berkata, beliau petang semalam meraikan kunjungan Presiden China, Xi Jinping bersama delegasi negara itu di Seri Perdana dalam majlis makan malam sempena lawatan negara ke Malaysia, dalam suasana persahabatan.

Menurut beliau, lawatan negara yang pertama sejak 12 tahun lalu oleh Xi itu adalah simbolik dan lambang ikatan persahabatan sejati Malaysia-China yang telah terjalin sejak sekian lama, dan keakraban tersebut terus utuh dan diperkukuh atas sikap kepercayaan, hormat dan kejujuran.

“Pepatah Melayu menyebut, air dicincang tidak akan putus. Begitu juga ikatan antara Malaysia dan China yang diuji waktu, namun tetap bersemi dan tidak terlerai.

“Moga persahabatan Malaysia-China terus mekar sedalam lautan, seteguh bintang di langit, dan segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan,” tambah Anwar.

Xi mengakhiri lawatan negaranya ke Malaysia hari ini, selepas tiba Selasa lalu, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang turut berkenan meraikan Xi dan delegasinya dalam satu majlis santapan negara.

Sepanjang lawatannya, Xi dan Anwar berkesempatan membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, selain menyaksikan majlis penandatanganan 31 memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat