China Seru Asia Timur Terajui Ekonomi Dunia, ASEAN+3 Teguh Kerjasama Serantau

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China, Li Qiang menyeru negara-negara Asia Timur agar melangkah lebih berani dalam menerajui pertumbuhan ekonomi global, selaras dengan peralihan pusat graviti ekonomi dunia ke rantau ini.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) ke-28 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin, Li menekankan bahawa kerjasama erat antara ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan adalah tunjang kepada kestabilan dan daya tahan rantau ini dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Asia Timur memiliki kekuatan tersendiri dalam keterbukaan dan kerjasama.

“Kita mesti terus mengekalkan semangat ini untuk memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keajaiban ekonomi Asia Timur bukan sekadar sejarah silam tetapi terus berkembang sebagai nadi baharu ekonomi dunia.

Sidang kemuncak itu menyaksikan pemimpin-pemimpin utama rantau berkumpul untuk memperkukuh sinergi serantau termasuk dalam aspek keselamatan dan pembangunan mampan.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, dalam ucapannya menyuarakan komitmen negaranya untuk memperkuat kerjasama dengan ASEAN dalam membanteras jenayah rentas sempadan khususnya penipuan dalam talian yang kian membimbangkan.

“Kami akan memperkukuh kerjasama dengan Polis ASEAN (ASEANAPOL) bagi meningkatkan keupayaan tindak balas terhadap jenayah terancang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Jepun, Motegi Toshimitsu berkata, Jepun akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan rantau melalui kerjasama dalam bidang keselamatan makanan, pengurusan bencana dan pembangunan serantau.

“Jepun kekal komited membantu membina Asia Timur yang lebih makmur dan berdaya tahan,” ujarnya.

Sidang kemuncak berprestij itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin ASEAN lain, menandakan tekad bersama untuk menjadikan Asia Timur sebagai pemacu utama ekonomi global yang inklusif dan berdaya tahan.

Anda Mungkin Berminat