ISTANBUL: China berjanji menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$100 juta kepada Palestin bagi membantu menangani krisis berterusan di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Presiden China, Xi Jinping mengumumkan komitmen itu ketika pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, sempena lawatan negara tiga hari pemimpin Eropah itu yang berakhir pada Jumaat.
“China akan menyediakan AS$100 juta bagi meredakan krisis kemanusiaan di Gaza serta menyokong pemulihan dan pembinaannya semula,” kata Xi dalam mesyuarat di Beijing pada Khamis, menurut kenyataan Kementerian Luar China.
Xi berkata, dunia kini “jauh daripada aman” dengan pelbagai konflik dan pertikaian antarabangsa yang semakin rumit.
Beliau menegaskan China dan Perancis akan terus bekerjasama untuk mencari penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata bantuan tersebut akan diguna bagi usaha pembinaan semula pascaperang untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
“China akan terus menyokong hak sah rakyat Palestin dan bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk mencapai gencatan senjata penuh serta memastikan penyelesaian politik berdasarkan solusi dua negara,” katanya pada sidang akhbar di Beijing.








