Chloe Lim Dinobat ‘Miss Universe Malaysia 2025’, Bawa Semangat Ke Pentas Dunia

PETALING JAYA: Chloe Lim, 25, mencipta sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai pemenang Miss Universe Malaysia 2025, menewaskan 16 finalis lain dalam acara kemuncak yang berlangsung pada Jumaat.

Sebagai pendatang baharu dalam dunia ratu cantik, kemenangan Chloe mengejutkan ramai namun disambut dengan penuh sokongan dan pujian.

Dalam ucapan kemenangannya, Chloe menzahirkan rasa terima kasih kepada semua finalis yang disifatkannya sebagai sumber kekuatan sepanjang pertandingan.

“Mereka yang membuat saya bersemangat dan memotivasi saya.

“Saya mahu membawa semangat ini ke pentas dunia,” katanya.

Chloe turut menyatakan tekad untuk memberikan persediaan sepenuhnya sebelum mewakili Malaysia di pentas Miss Universe yang bakal berlangsung di Thailand pada November ini.

“Secara fizikal, mental dan emosi, saya akan berusaha 100 peratus,” ujarnya.

Beliau juga tidak lupa menghargai sokongan rakannya, Priyanka, yang sentiasa berada di sisi sepanjang minggu pertandingan, menjadi tulang belakang dalam perjalanan Chloe ke mahkota kemenangan.

Kemenangan Chloe menerima reaksi positif daripada komuniti ratu cantik tempatan.

Ramai memuji konsistensi dan disiplin tinggi yang ditunjukkan sepanjang pertandingan, meskipun beliau tidak mempunyai pengalaman terdahulu dalam dunia ‘pageant’.

Menurut satu kenyataan di laman Facebook rasmi Miss Universe Malaysia, Chloe digalakkan untuk terus memperkukuh kemahiran utama seperti ‘catwalk’, keyakinan di hadapan kamera dan komunikasi dua hala bersama komuniti.

“Dengan disiplin, latihan khusus dan strategi yang baik, beliau mampu membawa nama Malaysia ke peringkat tertinggi,” tambah kenyataan itu.

Miss Universe Malaysia 2025 bukan sahaja menjadi titik permulaan bagi Chloe dalam dunia ratu cantik tetapi juga membuka lembaran baharu buat Malaysia untuk menampilkan wajah segar dan bersemangat di pentas antarabangsa.

Seperti pemenang-pemenang terdahulu, Chloe kini menggalas harapan negara bukan sekadar untuk menang tetapi untuk mengangkat nilai, budaya dan semangat Malaysia kepada dunia.

Anda Mungkin Berminat