Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam China International Import Expo (CIIE) 2025 kelapan membuktikan bahawa negara bersungguh-sungguh untuk meneroka pasaran baharu serta memperkukuh kehadiran ekonomi Malaysia di rantau itu.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC), Shanghai, China.
“Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghadiri CIIE ketujuh di lokasi sama,” katanya kenyataan pejabat Timbalan Perdana Menteri pada Rabu.
Difahamkan, majlis pembukaan CIIE telah disempurnakan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang.
Kehadiran pemimpin itu menzahirkan komitmen tinggi kerajaan China terhadap kerjasama perdagangan global dan keterbukaan pasaran antarabangsa.
Ia turut memperkukuh kedudukan CIIE sebagai salah satu pameran ekonomi paling berpengaruh di dunia.
CIIE merupakan inisiatif Kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) untuk mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke CIIE 2025 merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja beliau ke Shanghai dari 4 hingga 7 November ini.
Dalam lawatan itu juga, Ahmad Zahid akan merasmikan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) Shanghai 2025 pada 6 November 2025, yang berlangsung dari 5 hingga 10 November ini bersempena CIIE.
MIHAS@Shanghai merupakan edisi MIHAS kedua di peringkat antarabangsa selepas kejayaan MIHAS@Dubai 2024. Ini selaras dengan kedudukan CIIE yang merupakan salah satu platform perdagangan terbesar di dunia.
Beliau turut menegaskan bahawa China merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia.
Justeru itu katanya, platform seperti CIIE dan MIHAS@Shanghai, bukan sahaja memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, tetapi juga membuka lebih banyak peluang untuk industri halal dan PKS Malaysia menembusi pasaran global bernilai tinggi.
Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan negara China.
Ianya sejajar dengan dasar Kerajaan dalam memperluas jaringan pasaran luar negara bagi produk Malaysia, khususnya dalam sektor halal dan pembangunan luar bandar.
Baca juga:








