Cikgu Safuan hanya mahu kreatif ajar topik sains, bukan kandungan jelik

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Tular di media sosial mengenai seorang guru memaparkan rakaman mengajar anak murid tentang anatomi badan manusia menggunakan kaedah lagu, namun mendapat kecaman oleh orang ramai.

Guru tersebut lebih dikenali sebagai Cikgu Safuan yang sering menghasilkan kandungan pembelajaran pelbagai teknik yang mudah untuk difahami oleh murid-muridnya di sekolah.

Segelintir warga maya mempersoalkan lagu pembelajaran Cikgu Safuan mengenai anatomi seks badan manusia yang didakwa tidak sesuai untuk dijadikan tontonan serta kandungan pembelajaran yang kreatif.

“Mana sesuai perkataan faraj, zakar, bersenyawa kepada pelajar sekolah rendah,” ulas Latif di Facebook.

Manakala pempengaruh yang juga guru M K Izuddin tampil menjelaskan bahawa Cikgu Safuan hanya mahu kreatif dalam penyampaian silibus kepada para pelajar tahun enam.

“Sepatutnya ibu bapa bersyukur anak belajar ilmu seks dari cikgu sekolah, guna terma yang betul, konteks yang betul. Bukan belajar dari internet dengan kawan-kawan guna terma pasar,” ujar warga atas talian di ciapan laman X.

Difahamkan Cikgu Safuan antara pemegang anugerah 10 guru terbaik di Malaysia kerana berjaya menginovasikan pembelajaran Sains kepada lagu-lagu buat kefahaman murid-muridnya.

Memetik Portal The Rakyat Post, Cikgu Safuan memaklumkan dia lebih untuk tidak mengendahkan kata-kata negatif dan kecaman yang diterima berhubung lagi itu.

Ini kerana, dengan cara berkenaan pendidikan ilmu seks yang sebetulnya dapat menyedarkan masyarakat dan ia tidak lagi dianggap ‘taboo’.

“Biarlah… ramai juga yang faham sebenarnya tentang perkara ni.” katanya.

Terdahulu, video tersebut memaparkan guru itu duduk di hadapan kelas sambil menyanyikan lagu mengenai anatomi badan manusia sambil diiringi oleh murid-murid yang berada di belakangnya.

Katanya, beliau terlebih dahulu sudah meminta kebenaran dan persetujuan daripada kesemua ibu bapa murid-murid terbabit sebelum merakam video tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat