Oleh: Tyah Helmi
SUSULAN kes tikaman pelajar sekolah semalam, terdapat sekolah yang mengarahkan guru-guru untuk melakukan pemeriksaan mengejut (spot check) terhadap beg sekolah pelajar.
Seorang guru, Fatheen Afiqah mendedahkan hasil pemeriksaan sangat mengejutkan dengan menjumpai telefon pintar pelajar yang seterusnya membawa kepada penemuan kandungan tidak senonoh dalam telefon murid Tahun Enam.
Katanya, pemeriksaan diarah oleh pihak Hal Ehwal Murid (PKHem) bagi mengesan barangan terlarang seperti benda tajam dan peranti elektronik.
“Hari ini pagi-pagi PKHem maklumkan dalam kumpulan rasmi supaya buat pemeriksaan beg murid.
“Katanya, semua benda tajam dan terlarang perlu dirampas.
“Dalam kelas saya, Tahun Tiga, kebanyakan yang dirampas hanyalah gunting dan beberapa mainan.
“Tapi untuk Tahun Enam, banyak telefon bimbit dirampas dan kandungannya sangat mengejutkan,” katanya menerusi Thread pada Rabu.

Fatheen berkata, antara kandungan yang ditemui termasuk gambar-gambar guru yang dijadikan bahan lawak dan jenaka untuk dijadikan pelekat mesej di aplikasi WhatsApp serta foto seorang ustaz Kafa yang dirakam sedang baring di surau.
“Belum lagi kami semak perbualan, baru tengok gambar pun dah terkejut. Bayangkan, baru Tahun Enam,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, terdapat beberapa murid dilihat menangis ketika mana telefon mereka dirampas.
Malah katanya, ada seorang ibu turut memaklumkan bahawa beliau sendiri tidak pernah memegang telefon anaknya kerana anak itu tidak membenarkan.
“Apabila ditanya kenapa tidak serahkan kepada ayah untuk pantau, si ibu menjawab takut anaknya dipukul kerana si ayah tegas,” katanya.
Tegasnya, masalah ini berpunca daripada kurangnya kawalan ibu bapa terhadap penggunaan telefon bimbit dan gajet anak-anak.
“Saya bukan nak salahkan anak sepenuhnya, tetapi ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka turut menjadi penyebab.
“Tolong sedar, ibu bapa perlu selamatkan amanah Allah, selamatkan anak-anak sendiri.
“Sampai bila cikgu saja yang perlu selamatkan anak anda?” soalnya dalam nada tegas.
Difahamkan, perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial.
Rata-rata pengguna di laman Thread menyuarakan kebimbangan terhadap pendedahan awal terhadap kandungan tidak senonoh dalam kalangan pelajar sekolah rendah.
Baca juga: