PENYANYI dan komposer legenda, Datuk M. Nasir bakal menggegarkan kembali pentas dengan Konsert M. Nasir Cipta 3 yang dijadual berlangsung pada 27 September ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Dianjurkan oleh Icon Entertainment, konsert kali ini tampil dengan konsep baharu bertemakan “Malam Ini Gua Rock”, menyaksikan sisi lebih ‘keras’ dan bertenaga M. Nasir, berbeza daripada persembahan-persembahan terdahulu.
Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, Cipta 3 akan menyajikan barisan lagu rock ikonik hasil ciptaan dan nyanyian M. Nasir yang telah mewarnai landskap muzik tanah air selama berdekad.
“Ramai tahu M. Nasir bukan sekadar penyanyi, malah pencipta lagu untuk ramai penyanyi rock terkenal seperti Wings dan Search. Lagu seperti Sejati dan Intanku Kesepian adalah antara karya beliau yang menjadi siulan sepanjang zaman,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menambah, penonton bakal menyaksikan bagaimana lagu-lagu rock popular ini dibawa semula oleh M. Nasir dengan sentuhan seni tersendiri yang menjanjikan pengalaman magis.
Bagi M.Nasir sendiri, jiwa rock masih lagi ada dalam dirinya memandangkan beliau juga komposer kepada lagu Kumpulan terkemuka seperti Wings dan Search.
“Bagi saya, jiwa rock itu sentiasa ada kerana saya bermula dengan album dari Kumpulan rock. Jadi sebab itu saya sendiri terpanggil untuk bersetuju tampilkan tema rock pada konsert kali ini” katanya.
Selari dengan tema konsert, penonton digalakkan hadir dengan gaya tersendiri menerusi tema pakaian “Rock Cara Lu… Janji Rock” sebagai simbol kebebasan ekspresi diri.
Tiket konsert akan mula dijual pada 4 Julai 2025, bermula jam 11 pagi menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my/mnasircipta3.
Baca juga: