Oleh: Aliyaa Azmi
HANYA tinggal 19 hari lagi sebelum konsert ELITE ’25 membuka tirai, peminat masih berpeluang mendapatkan tiket menyaksikan kemunculan semula kumpulan popular era 90-an itu.
Menerusi perkongsian di Instagram rasmi Elite, Linda Rafar, Azza, Abby Abadi, Shasha Saidin dan Watie Sadali dilihat rancak membuat persediaan akhir, termasuk pemantapan vokal dan tarian, selain teruja untuk bertemu peminat.
Lebih mengujakan, wajah kesemua anggota Elite kini turut menghiasi papan iklan gergasi di Raja Chulan, tanda simbolik kemunculan semula mereka selepas dua dekad, sekali gus menarik perhatian warga kota dan pencinta muzik era 90-an.
Penganjur mengumumkan dua kategori baharu di Level 3 iaitu Trauma (RM98) dan Bila (RM88), diinspirasikan daripada lagu-lagu ikonik kumpulan Elite, khas buat peminat yang ingin hadir dengan harga lebih mampu milik.
Lebih menarik, kumpulan Alpha dan X Factor turut diumumkan sebagai artis jemputan terbaru, sekali gus bakal menghangatkan pentas Elite Warriors dengan warna dan tenaga tambahan pada malam penuh emosi serta nostalgia itu.
Konsert kali ini turut membawa tema ‘catwalk’, sekali gus menimbulkan keterujaan dalam kalangan peminat yang sudah mula berkongsi persiapan baju masing-masing di media sosial, ada yang siap merancang gaya khas untuk malam penuh nostalgia itu.
Tiket bagi kategori baharu dan lama boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my/elite.