CPTPP Tingkat Akses Pasaran, Tarik Pelaburan Baharu – Menteri

PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) terus disifatkan sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh daya saing negara dalam jangka panjang, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, CPTPP bukan sekadar perjanjian perdagangan, tetapi platform penting yang membuka laluan lebih luas untuk Malaysia melonjak dalam rantaian nilai global, sekali gus mengekalkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi.

“Melalui CPTPP, pengeksport Malaysia kini menikmati akses pasaran tanpa tarif ke empat pasaran utama baharu iaitu Kanada, Mexico, Peru dan United Kingdom.

“Ini membuka peluang besar kepada sektor automotif, tekstil, minyak sawit dan E&E bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zafrul, penghapusan sehingga 99 peratus tarif menjelang 2033 turut memberi kelebihan besar kepada industri tempatan, yang kini boleh mendapatkan bahan mentah, bahan api dan jentera pada kos lebih rendah, sekali gus meningkatkan daya saing sektor perkilangan negara.

Beliau berkata, CPTPP turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dengan 33.1 peratus pelaburan langsung asing (FDI) negara datang daripada ekonomi CPTPP, memberikan kelebihan strategik dalam persekitaran serantau yang semakin kompetitif.

Selain manfaat perdagangan, perjanjian itu juga membuka peluang mobiliti profesional Malaysia ke negara-negara CPTPP termasuk dalam bidang kejuruteraan, perundangan dan perubatan.

“Malaysia sedang bergerak untuk menjadi hab perdagangan dan pelaburan ke Asia Tenggara serta Indo-Pasifik.

“CPTPP membantu memperkukuh kedudukan kita dalam rantaian bekalan global berteknologi tinggi,” katanya.

Untuk info, Malaysia secara rasmi menyertai CPTPP pada 29 November 2022.

Perjanjian yang merangkumi 11 negara dengan gabungan ekonomi hampir USD13 trilion itu dijangka meningkatkan perdagangan, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi melalui akses pasaran yang lebih luas dan integrasi rantaian bekalan serantau yang lebih kukuh.

Anda Mungkin Berminat