Cristiano Ronaldo Cipta Sejarah, 100 Gol Bersama Empat Kelab Berbeza

HONG KONG: Cristiano Ronaldo terus membuktikan statusnya sebagai legenda bola sepak dunia apabila mencatat satu lagi pencapaian bersejarah apabila menjaringkan gol ke-100 bersama kelab Al-Nassr.

Walaupun pasukannya tewas kepada Al-Ahli dalam perlawanan Piala Super Saudi pada Sabtu.

Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41, menjadikan beliau satu-satunya pemain dalam sejarah bola sepak yang mencapai 100 gol bersama empat kelab berbeza: Al-Nassr, Real Madrid, Manchester United dan Juventus.

Selain itu, beliau turut mencatat lebih 100 gol bersama pasukan kebangsaan Portugal, menjadikan rekodnya sebagai sesuatu yang sukar ditandingi.

Perlawanan tersebut berlangsung penuh dramatik, apabila Franck Kessié menyamakan kedudukan untuk Al-Ahli pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Marcelo Brozović kembali meletakkan Al-Nassr di hadapan pada minit ke-82, namun Roger Ibañez menyamakan kedudukan sekali lagi sebelum masa tambahan.

Al-Ahli akhirnya muncul juara selepas menang 5-3 dalam penentuan penalti.

Ronaldo kini memasuki musim keempatnya di Liga Pro Saudi dengan rekod 74 gol dalam 77 penampilan liga, satu pencapaian luar biasa bagi pemain berusia 40 tahun.

Namun, rekod terbaiknya masih kekal bersama Real Madrid, di mana beliau menjaringkan 311 gol dalam hanya 292 perlawanan La Liga.

Sejak menyertai Al-Nassr pada Disember 2022, Ronaldo telah menunjukkan prestasi individu yang mengagumkan.

Namun begitu, kejayaan pasukan masih belum menyusul.

Al-Nassr kali terakhir menjuarai Liga Pro Saudi pada musim 2018-19 dan masih memburu gelaran sulung dalam Liga Juara-Juara AFC Elite.

Dengan semangat juang yang tidak pernah luntur, Cristiano Ronaldo terus mencipta sejarah dan menjadi inspirasi kepada jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia.

Anda Mungkin Berminat