Cuaca panas melampau risiko tinggi bagi warga emas, kanak-kanak

PETALING JAYA: Keadaan cuaca panas yang melanda Malaysia ketika ini susulan Fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) dalam fasa kering meningkatkan risiko kesihatan, terutamanya kepada golongan warga emas dan kanak-kanak.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang, kedua-dua golongan itu disaran mengurangkan aktiviti luar serta memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi.

Kata beliau, dari aspek kesihatan, golongan berkenaan lebih mudah terjejas ketika cuaca panas berpanjangan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhemah dalam penggunaan air berikutan pengurangan taburan hujan yang boleh menjejaskan paras takungan empangan,” katanya ketika dipetik oleh Berita RTM pada Selasa.

Menurutnya, keadaan itu berpotensi memberi kesan kepada bekalan air bersih sekiranya tidak diurus dengan baik.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Malaysia menetapkan tiga tahap amaran cuaca panas, iaitu tahap berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Katanya, tahap gelombang haba pula dikeluarkan apabila suhu melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius, manakala gelombang haba ekstrem diisytiharkan sekiranya suhu melebihi 40 darjah Celsius dalam tempoh yang sama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat