Cuaca tidak menentu didakwa punca harga bekalan sayur di Kelantan naik lebih 10 peratus

Keadaan cuaca yang tidak menentu menjadi antara penyebab tanaman sayuran di Kelantan tidak menjadi sekali gus memberi kesan kepada bekalannya yang menjadi kurang di pasaran.

Bekalan kurang menyebabkan harga beberapa jenis sayuran didapati naik lebih 10 peratus sejak seminggu yang lalu.

Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati harga sayuran yang naik adalah cili merah dari RM14 kepada RM20 sekilogram, terung dari RM6 kepada RM10 sekilogram, kacang panjang dari RM6 kepada RM10 sekilogram dan labu air dari RM4 kepada RM7.

Peniaga, Che Za Ibrahim, 50, berkata, harga sayuran naik kerana tanaman tidak menjadi disebabkan hujan berpanjangan.

Katanya, disebabkan keadaan itu, banyak tanaman rosak menyebabkan bekalan kurang dan penanam terpaksa menaikkan harga kerana permintaan tinggi.

“Kenaikan harga ini berlaku apabila hujan dan sebagai peniaga kami sudah biasa. Namun, kami juga tidak sampai hati nak ambil untung banyak.

“Apabila harga naik, pembeli juga faham dengan keadaan cuaca sekarang yang mendorong kenaikan harga kerana disebabkan bekalan sayuran kurang,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Seorang lagi peniaga, Mastura Hanis Mat Hussin, 36, pula berkata, bekalan sayur-sayuran tempatan kurang menjadi menyebabkan pemborong mengambil bekalan dari Thailand dan Vietnam.

“Bagi cili merah, pemborong ambil dari Vietnam dan sayuran lain dibeli dengan pembekal dari Thailand.

“Selain itu, banyak sayuran diambil dengan pengusaha tempatan, namun ia tidak mencukupi untuk tampung keperluan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat