Cuba bunuh isteri, lelaki lepaskan tembakan di KLIA lari ke utara

Seorang lelaki yang melepaskan tembakan ke arah isterinya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, Sepang, Selangor dipercayai melarikan diri ke utara. 

Kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berhasrat menembak isterinya yang berada di tempat kejadian. 

“Ketika kejadian, isteri suspek dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah. 

“Suspek bertindak melepaskan dua das tembakan. Salah satunya telah mengenai lelaki tempatan yang juga pegawai peribadi mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api. 

“Identiti suspek telah dikenal pasti dan operasi mengesannya sedang giat dijalankan. Siasatan lanjut mendapati suspek melarikan diri ke utara,” katanya. 

Jelasnya, kejadian tersebut bersifat peribadi iaitu perselisihan faham antara suami isteri manakala tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan. 

Orang ramai turut diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga mencetuskan kekalutan dalam kalangan masyarakat. 

Ujarnya, keadaan di KLIA bagaimanapun dilaporkan selamat dan terkawal. 

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/04/14/operasi-sar-diteruskan-lelaki-dikhuatiri-lemas-jatuh-jambatan-di-sungai-danga

Anda Mungkin Berminat