BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menggagalkan cubaan menyeludup 450,000 biji dadah jenis pil Yaba bernilai RM1.8 juta ke Malaysia menerusi khidmat kurier pada Jumaat.
Berita tempatan melaporkan, dadah tersebut dirampas dalam serbuan kira-kira jam 3 petang waktu Malaysia di sebuah hab pengedaran kurier di Sai Thong, Bandar Sungai Golok.
Menurut Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng, pihaknya bertindak berdasarkan maklumat risikan mengenai penghantaran dadah berskala besar melalui perkhidmatan kurier ke Sungai Golok.
“Kami menerima maklumat bahawa sejumlah besar dadah akan dihantar melalui perkhidmatan kurier ke Sungai Golok. Pasukan kami memantau situasi dengan rapi.
“Semalam, kami menjalankan pemantauan sejak awal pagi untuk melihat siapa akan mengambil bungkusan itu, tetapi tiada sesiapa hadir. Dadah terbabit kemudian dirampas untuk siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Pegawai Daerah Sungai Golok, Supichan berkata, operasi tersebut melibatkan kerjasama pegawai daerah, Pusat Pencegahan dan Pembanterasan Narkotik Sungai Golok, sukarelawan tempatan serta Unit 3, Wilayah 4, Biro Pencegahan dan Pembanterasan Narkotik.
Katanya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dari sebuah wilayah di utara Thailand untuk dihantar kepada pembeli di Malaysia, termasuk Kelantan.
Pil yang dirampas itu kemudiannya diserahkan kepada polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut.
Baca juga: