SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah hari, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran telah ditahan di kedudukan 8.79 batu nautika utara Kuala Mumiang.
Menurut Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Suhairy Hussain, kru bot tersebut dilihat cuba membuang beberapa objek ke laut sebaik menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa sebanyak 120 pek minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain rampasan minyak masak, pihak berkuasa turut menemui wang tunai berjumlah RM6,850 bersama salah seorang kru.
Tiga lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 39 tahun yang menaiki bot tersebut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati bot berkenaan tidak memiliki dokumen pendaftaran yang sah.
Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Bot bersama barang rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 telah diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.
Suhairy menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan perairan negara melalui aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan.
“Rondaan dan pemantauan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Maritim Malaysia turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau kecemasan di laut supaya menyalurkan aduan ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di 089-229504 yang beroperasi 24 jam.