Cubaan Seludup Petrol Guna Tangki Kereta Ubah Suai Ke Thailand Gagal

TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 berjaya mematahkan cubaan menyeludup petrol ke Thailand selepas menahan dua buah kereta dalam operasi khas Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan di dua lokasi berasingan di sini, pada Ahad.

Operasi yang berlangsung antara pukul 10 hingga 11 pagi itu menyaksikan kenderaan pertama ditahan di Jalan Kampung Kubang Panjang, Chabang Empat, manakala sebuah lagi dikesan di kawasan parkir Stesen Minyak Petronas Terbok.

Hasil pemeriksaan mendapati tangki kedua-dua kenderaan telah diubah suai bagi tujuan penyimpanan petrol secara haram.

“Pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemui 130 liter petrol yang disorokkan dalam tangki kenderaan yang telah diubah suai,” kata PGA dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dua lelaki tempatan berusia 25 dan 50 tahun turut ditahan, dipercayai bertindak sebagai penghantar yang membawa petrol ke sempadan sebelum diseludup masuk ke negara jiran.

“Modus operandi mereka adalah mengisi petrol dalam jumlah kecil di beberapa stesen minyak bagi mengelak dikesan, sebelum mengumpulnya untuk diseludup ke negara jiran,” tambah kenyataan itu.

Kesemua rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Anda Mungkin Berminat