Cubaan Seludup Rokok RM640,000 Gagal Di Sungai Golok

TUMPAT: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok tanpa cukai menggunakan laluan Sungai Golok, apabila hampir sejuta batang rokok putih bernilai RM640,000 ditemui ditinggalkan di tebing sungai berkenaan, awal pagi, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, rampasan itu hasil maklumat risikan tepat yang diterima sekitar pukul 1.30 pagi mengenai pergerakan sebuah bot pancung mencurigakan dari Tak Bai, Thailand, menuju ke arah Galeri Tengku Anis, Tumpat.

“Berdasarkan maklumat tersebut, aset Maritim Malaysia yang berada di sekitar kawasan berkenaan segera digerakkan untuk melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mengesan pergerakan bot terbabit,” katanya.

Sekitar pukul 2.00 pagi, sebuah bot pancung dikesan bergerak laju dalam keadaan gelap sebelum berpatah balik ke Tak Bai selepas menyedari kehadiran penguat kuasa.

Usaha mengejar dijalankan, namun bot suspek berjaya meloloskan diri ke perairan Thailand.

Tidak lama kemudian, kira-kira pukul 2.13 pagi, anggota Maritim Malaysia menemukan longgokan kotak rokok dibungkus plastik lutsinar di tebing Sungai Golok berhampiran Galeri Tengku Anis.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 94 peti dan kotak mengandungi 940,000 batang rokok putih tanpa cukai dengan nilai anggaran RM640,000,” kata beliau.

Tiada individu ditemui di lokasi kerana suspek dipercayai melarikan diri.

Kesemua rampasan disita di bawah Akta Kastam 1967 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.

Erwan Shah berkata, kejayaan operasi itu membuktikan tahap kesiapsiagaan aset dan kecekapan anggota Maritim Malaysia dalam bertindak pantas berasaskan maklumat risikan.

Anda Mungkin Berminat