CUEPACS bantah cadangan ambil jururawat dari Indonesia

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah cadangan mengambil jururawat dari Indonesia bagi mengisi kekosongan di hospital kerajaan seperti dilaporkan media.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata langkah itu tidak wajar kerana masih ramai graduan jururawat tempatan belum diserap ke dalam perkhidmatan awam, termasuk mereka yang menamatkan pengajian sejak lapan bulan lalu.

“CUEPACS berpandangan, kerajaan seharusnya memberi keutamaan kepada rakyat tempatan khususnya lepasan jurusan kejururawatan dan jururawat masyarakat lulusan Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) untuk mengisi kekosongan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kualiti latihan jururawat di Malaysia adalah tinggi dan mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus menimbulkan kebimbangan jika jururawat dari luar tidak menepati standard berkenaan.

Katanya lagi, mengambil jururawat luar negara turut berisiko dari segi perbezaan budaya, agama dan sensitiviti sosial yang boleh menjejaskan komunikasi serta hubungan dengan pesakit dan keluarga.

“Peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam perlu mengutamakan rakyat Malaysia selaras dengan dasar negara.

“Penyelesaian lebih tepat dan mampan adalah dengan mempercepatkan pelantikan jururawat tempatan serta meningkatkan insentif dan kemudahan sedia ada”

“CUEPACS juga bersedia berbincang dengan KKM bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu kekurangan jururawat tanpa menjejaskan kebajikan jururawat tempatan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat