PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menzahirkan rasa kesal terhadap kenyataan dan tindakan pihak tertentu yang mendakwa mewakili Jawatankuasa Bersama Khas (JBK).
Dakwaan itu mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, isu tersebut dibangkitkan semasa pertemuan rasmi mereka dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Zurich, Switzerland, baru-baru ini.
Menurutnya, pertemuan yang dihadiri oleh 16 delegasi CUEPACS turut menyoroti isu ketiadaan wakil pekerja Malaysia dalam Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) yang sedang berlangsung.
“Dalam pertemuan tersebut, CUEPACS telah memberikan penjelasan mengenai situasi sebenar dan menegaskan bahawa mandat JBK adalah untuk mengadakan pemilihan semula kepimpinan MTUC seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan.
“Bukannya mewakili MTUC secara rasmi atau membuat kenyataan yang mengelirukan di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
CUEPACS turut mengecam tindakan pihak yang menggunakan nama MTUC tanpa mandat yang sah serta menggesa JBK agar menghentikan sebarang usaha yang boleh mengganggu keharmonian hubungan antara kerajaan, majikan dan pekerja.
“Sebagai perwakilan terbesar dalam MTUC, CUEPACS memandang serius kegagalan JBK menjalankan pemilihan dalam tempoh yang ditetapkan yang akhirnya menyebabkan tiadanya wakil pekerja ke ILC buat pertama kali dalam sejarah negara,” ujarnya.
Abdul Rahman berkata, kekacauan itu bukan sekadar mencalarkan imej Malaysia tetapi turut memberi kesan kepada kehadiran rasmi CUEPACS di ILC.
Tambahnya, disebabkan tiket dan penginapan yang telah ditempah lebih awal, pembatalan kehadiran tidak dapat dilakukan pada saat akhir sehingga mengakibatkan kos perjalanan tetap ditanggung oleh Kesatuan Gabungan CUEPACS masing-masing.
Sebagai langkah ke hadapan, CUEPACS mencadangkan agar kesatuan seperti mereka diberikan ruang untuk mendaftar secara terus dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan insiden memalukan seperti ini tidak berulang.
Terdahulu, Malaysia mendapat perhatian ekoran ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi negara ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland tahun ini.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menjelaskan bahawa isu tersebut berpunca daripada ketiadaan barisan kepimpinan sah dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Menurut KESUMA, pemilihan semula kepimpinan MTUC yang sepatutnya berlangsung pada Mei 2025 ditangguhkan sehingga 10 Ogos 2025, susulan arahan Mahkamah Rayuan pada 21 Februari 2025 untuk mengadakan pemilihan baharu dalam tempoh 90 hari.