Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kecurian kabel komunikasi dan isyarat menjadi punca utama gangguan operasi pada Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Amir Hamdan, kini pasukan teknikal Prasarana bersama pakar pengeluar peralatan asal (OEM) sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan secara menyeluruh bagi menstabilkan sistem operasi secepat mungkin.
“Pada masa ini, sistem masih berada dalam keadaan berperingkat dan belum dibaiki sepenuhnya.
“Operasi dijalankan secara manual dengan 18 tren beroperasi, selain 40 bas ulang-alik percuma disediakan bagi menghubungkan stesen di sepanjang laluan MRT Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Amir menjelaskan, kecurian kabel berkenaan dikesan di kawasan Taman Desa dan siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak polis.
“Tahun ini sahaja, kita telah mencatat hampir 50 insiden kecurian kabel yang mana peningkatan kira-kira 100 peratus berbanding tahun lalu.
“Kejadian ini amat membimbangkan kerana ia memberi kesan langsung kepada keselamatan serta kestabilan operasi,” jelasnya.
Beliau menambah, kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan sistem operasi rel, tetapi turut memberi kesan kepada perkhidmatan pengangkutan awam lain yang berdepan masalah sama.
Katanya, perkara itu telah dibawa kepada perhatian kerajaan untuk pertimbangan memperketatkan undang-undang berkaitan kecurian aset infrastruktur awam.
Sementara itu, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 esok, Amir menasihatkan pengguna pengangkutan awam agar merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif seperti yang diumumkan oleh Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail).
“Prasarana akan terus memberikan maklumat terkini mengenai kemajuan kerja pemulihan bagi membantu penumpang merancang perjalanan mereka dengan lebih berkesan dalam tempoh dua hari akan datang,” katanya.








