Cuti ganti Thaipusam, Hari Wilayah Persekutuan pada Februari 2026

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan mewartakan Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan sebagai hari kelepasan am tahun 2026 yang jatuh pada 1 Februari depan, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Dalam satu kenyataan, cuti Wilayah merupakan cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan peruntukan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan cuti berkenaan tidak boleh digantikan dengan bayaran lain.

“Memandangkan Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari Ahad, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan pekerja hendaklah memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Isnin,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Kementerian turut menjelaskan, majikan yang memilih Hari Thaipusam sebagai salah satu daripada enam hari kelepasan am pilihan di bawah Subseksyen 60D(1)(a) Akta 265, perlu memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, iaitu Selasa, berikutan pertindihan kedua-dua cuti berkenaan.

“Majikan juga boleh memberikan mana-mana hari lain sebagai cuti berbayar sebagai ganti tertakluk kepada persetujuan pekerja seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 60D(1A),” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, pekerja yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am layak menerima bayaran gaji mengikut kadar yang ditetapkan di bawah Seksyen 60D(3) Akta Kerja 1955.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat