Cuti Sekolah: 22 Kematian, 1369 Kemalangan Direkod JSPT Dalam Sehari

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengeluarkan satu kenyataan susulan statistik kemalangan jalan raya yang mengejutkan pada 14 September 2025 (Ahad).

Dalam tempoh 24 jam, sebanyak 22 kes kemalangan maut direkodkan, melibatkan 22 kematian dan 1,369 kes kemalangan di seluruh negara.

Pengarah JSPT, CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menekankan peranan kritikal petugas trafik dalam mengurangkan risiko kemalangan maut khususnya di lebuh raya utama yang menjadi tumpuan sempena musim cuti persekolahan dan cuti umum.

“Statistik jabatan ini bertarikh 14 September 2025 merekodkan sebanyak 22 kes kemalangan maut dengan 22 kematian yang melibatkan 1,369 kes kemalangan jalan raya.

“Keberadaan petugas JSPT di sepanjang lebuh raya utama memainkan peranan kepada risiko kemalangan maut dengan melaksanakan penguatkuasaan peraturan lalu lintas,” katanya.

Beliau turut menyeru agar pengguna jalan raya mengamalkan sikap berhemah dan bertanggungjawab, sambil menekankan bahawa keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tetapi usaha kolektif seluruh masyarakat.

“Keprihatinan pengguna jalan raya yang mengamalkan sikap berhemah, berdisiplin, bertanggungjawab dan berwaspada serta mematuhi peraturan lalu lintas adalah kunci kepada usaha meminimumkan kemalangan jalan raya serta kesedaran semua pihak dalam menjayakan kempen keselamatan jalan raya,” katanya lagi.

Beliau turut mengajak semua pihak termasuk media dan orang awam untuk memainkan peranan aktif dalam menyampaikan mesej keselamatan.

“Saya menyeru kepada semua pihak termasuklah orang awam, media, peka dan bertanggungjawab dalam usaha menyampaikan mesej keselamatan serta menyokong usaha pihak jabatan ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat