GOMBAK: Polis Daerah Gombak berjaya merampas dadah bernilai anggaran RM7.12 juta dua operasi berasingan yang dijalankan antara 14 hingga 27 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir memaklumkan bahawa rampasan keseluruhan dalam dua kes tersebut melibatkan nilai sitaan berjumlah RM11,848.86.
“Dalam operasi pertama pada 14 Mei, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Gombak menyerbu sebuah gudang penyimpanan kereta dan merampas 212 bungkusan plastik berisi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 222,331 gram.
“Siasatan lanjut berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan di kawasan Gombak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sementara itu, tambahnya, dalam kes kedua yang berlaku pada 27 Mei, pasukan yang sama telah menahan sebuah kenderaan mencurigakan.
Pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki warganegara asing dan seorang wanita tempatan, serta rampasan dadah jenis ganja seberat 2,072 gram.
“Analisa awal mendapati jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua kes ini berpotensi untuk diedarkan kepada kira-kira 226,475 pengguna dalam tempoh satu hari, sekali gus menandakan ancaman serius sindiket terhadap keselamatan komuniti.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama strategik, kepakaran pasukan siasatan narkotik serta maklumat risikan yang berkesan,” tegas beliau.
Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952.