Dadah ‘zombi’ dikesan di Malaysia, lebih bahaya daripada morfin

BANGI: Dadah sintetik berbahaya, ‘fentanyl’, yang 100 kali lebih kuat daripada morfin, kini dikesan berada dalam pasaran negara.

Penemuan itu hasil analisis air kumbahan di Lembah Subang yang mengesan kehadiran Methamphetamine dan Fentanyl, mencetuskan kebimbangan mengenai kewujudan makmal pemprosesan dadah di kawasan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, mengesahkan bahawa dadah ini bukan sahaja dikesan di Lembah Klang, tetapi juga di Johor. Bagaimanapun, sampel dari seluruh negara masih dalam proses analisis bagi mengenal pasti trend penyebarannya.

Menurut Ayob Khan, penemuan berkenaan adalah hasil kerjasama strategik antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang dimulakan secara rasmi sejak 21 Oktober 2022.

“Inisiatif ini memberi fokus kepada penyelidikan saintifik berhubung bahan terlarang, termasuk dadah psikoaktif baharu (NPS) dan penghasilan dadah secara haram dalam negara,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, analisis terhadap air kumbahan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti lokasi berpotensi sebagai pusat pemprosesan dadah.

“Apabila sesuatu kawasan dikesan mengandungi bahan terlarang, JSJN akan menjalankan risikan sebelum melancarkan operasi,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan turut mendedahkan bahawa polis kini memperluaskan kerjasama antarabangsa bagi membendung trend pembiakan dadah haram.

“Bulan lalu, satu serbuan di Selangor membongkar sebuah makmal dadah haram yang dikendalikan oleh sembilan warga asing dari China. Ini menunjukkan ancaman baharu kerana mereka memiliki kepakaran serta bahan asing untuk menghasilkan dadah sintetik yang lebih berbahaya,” katanya.

Melalui usaha berterusan ini, pihak berkuasa berharap dapat mengawal penyebaran fentanyl dan dadah baharu lain yang mengancam keselamatan masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat