Jumlah individu yang mengemas kini maklumat dalam Pangkalan Data Utama (PADU) meningkat secara mendadak menjelang tarikh akhir pendaftaran iaitu pada Ahad.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengingatkan mereka yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian bagi mengelakkan mereka tercicir daripada mendapat subsidi dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
Menurut Rafizi, kadar pendaftaran bagi sistem berpusat itu meningkat dengan mendadak dan angka mengampiri 10 juta pengguna menjelang tengah malam tadi.
Rafizi berkata, pertambahan bilangan mereka yang mendaftar PADU menunjukkan ramai sedar kepentingan berbuat demikian bagi mengelakkan mereka tercicir daripada sebarang subsidi dan bantuan kerajaan.
“Ruh ruh ruh, ceh ceh ceh, daftar PADU bro, nanti tercicir. Kadar pendaftaran dan pengemaskinian PADU naik mendadak sejak dua hari lepas.
“Setakat 11:59 malam, 29 Mac 2024, lebih 9.8 juta rakyat Malaysia berjaya daftar dan kemas kini maklumat mereka di PADU.
“Mungkin makin ramai sedar dan risau akan keciciran,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Terdahulu, PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.
Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.
Baca juga: