‘Dahulukan Amerika’, Trump mahu AS lebih kuat

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bercadang menyalurkan AS$1.8 bilion bersamaan RM7.56 bilion dana bantuan asing kepada inisiatif ‘Dahulukan Amerika’.

Menurut dokumen dihantar kepada Kongres, dana itu akan digunakan untuk menggalakkan pelaburan di Greenland serta menentang ‘rejim Marxist, anti-Amerika’ di Amerika Latin.

“Keselamatan negara memerlukan penggunaan dana ini bagi menghadapi cabaran baharu. Inilah cara menjadikan AS lebih selamat, kuat dan makmur,” menurut notifikasi Kongres yang disemak Reuters.

Perancangan itu dilaporkan pertama kali oleh ‘The Washington Post’ yang menyebut dana berkenaan diambil daripada program bantuan asing sedia ada yang diluluskan Kongres.

Jurucakap Jabatan Negara AS dalam kenyataan e-mel berkata, pihaknya menantikan kerjasama dengan Kongres dan menegaskan program bantuan perlu sejajar dasar pentadbiran.

“AS akan mengutamakan perdagangan berbanding bantuan, peluang berbanding kebergantungan dan pelaburan berbanding bantuan,” katanya.

Pentadbiran Trump sebelum ini telah merombak besar-besaran bantuan asing sejak penggal keduanya bermula Januari lalu, dengan menekankan pendekatan yang lebih bersifat strategik berbanding bantuan kemanusiaan tradisional.

Dokumen bertarikh 12 September menyebut, AS$400 juta bersamaan RM1.68 bilion diperuntukkan untuk menyokong inisiatif di Eropah termasuk tenaga dan mineral kritikal di Ukraine serta projek pembangunan di Greenland.

Di hemisfera barat pula, jumlah sama akan digunakan untuk menangani kemasukan pendatang haram, mengekang pengaruh China dalam mineral dan kecerdasan buatan (AI), serta berdepan rejim anti-AS di Venezuela, Cuba dan Nicaragua.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat